
Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Pendidikan meneruskan pelaksanaan inisiatif EDU Pit-Stop bagi semester ini sebagai usaha membantu pelajar yang memerlukan. EDU Pit-Stop yang beroperasi di Bilik Rehat Pelajar, Aras 7, Fakulti Pendidikan, menyediakan pelbagai barangan makanan kering seperti biskut, minuman pra-campuran dan lain-lain keperluan asas. Keprihatinan terhadap kebajikan pelajar turut diperluas kepada pelajar Non-Resident (NR) melalui penyediaan beras serta stok makanan dalam tin atau peket yang boleh dimasak sendiri di rumah sewa masing-masing.
Sebagai tanda sokongan terhadap kesejahteraan rohani pelajar, pihak fakulti turut menambah selipar baharu di Surau Fakulti Pendidikan bagi kemudahan pelajar yang menunaikan solat. Walaupun kelihatan kecil, usaha-usaha ini amat signifikan dan relevan dengan keperluan semasa mahasiswa Fakulti Pendidikan.
Inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha memelihara kebajikan pelajar seperti yang diaspirasikan oleh YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, malah turut memupuk nilai keprihatinan, kerohanian dan semangat saling membantu dalam kalangan warga Fakulti Pendidikan.
Sumbangan dalam bentuk barangan amat dialu-alukan dan boleh disalurkan melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan dengan menghubungi Dr. Ani Mazlina Dewi Mohamed selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar.
